Wednesday, June 29, 2011

hari yang istimewa


Apa istimewanya 27hb Rajab ini?
Detik ini adalah saat yang sangat bermakna apabila umat Islam di seluruh dunia akan menyambut peristiwa Israk Mikraj. Ianya merupakan satu peristiwa yang cukup besar dalam diari dan sejarah umat Islam yang disambut pada 27 Rejab di setiap tahun. (Pada tahun ini, ianya bertepatan dengan 28 Jun 2011, Selasa malam Rabu).
Firman Allah SWT bermaksud: “Maha Suci Allah SWT yang sudah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin) yang Kami berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah SWT jugalah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Israk ayat 1).
Apakah yang dikatakan Israk Mikraj itu?
  1. Israk: Perjalanan malam Rasulullah saw daripada Masjid al-Haram di Mekah ke Baitul Maqdis di Palestin.
  2. Mikraj: Perjalanan naiknya Rasulullah saw dari Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis menembusi langit ke sempadan yang paling tinggi iaitu Sidratul Muntaha.
Apakah peristiwa penting yang berlaku sebelum Israk Mikraj ini?
1-     Peristiwa Israk Mikraj berlaku selepas Rasulullah saw diuji dengan kematian dua orang yang sangat dikasihi yang telah banyak membantu baginda dalam usaha menyebarkan dakwah Islam iaitu isteri tercinta Siti Khadijah dan bapa saudaranya Abu Talib.
2-     Tekanan yang dihadapi selepas kematian kedua-dua insan yang disayangi semakin bertambah apabila berlakunya penolakan dakwah oleh penduduk Taif.
Nabi telah ‘dihiburkan’ oleh Allah swt dengan Israk dan Mikraj dan seterusnya diizinkan untuk berhijrah ke Madinah sehingga Berjaya membina Daulah Islamiah yang telah mengubah kedudukan Islam daripada dihina kepada dipandang mulia, daripada lemah kepada memerintah.
Kenapa Israk Mikraj dikatakan sebagai ujian keimanan?
Peristiwa Israk Mikraj ini telah menyaring keimanan serta keyakinan umat manusia terhadap kekuasaan Allah s.w.t dan kebenaran risalah Rasulullah s.a.w.
Orang kafir pada ketika itu telah menjadikan peristiwa Israk Mikraj ini sebagai suatu peluang terbaik untuk melakukan operasi pembohongan yang menambahkan lagi penolakan mereka terhadap dakwah Nabi.
Umat Islam sendiri terbahagi kepada beberapa peringkat
1-     Ada yang terus membenarkan Rasulullah seperti Saidina Abu Bakar as-Siddiq
2-     Ada pula yang mahu penjelasan terperinci dengan menguji Nabi melalui beberapa pertanyaan seperti bilangan pintu dan tiang dalam Masjidil Aqsa bagi membuktikan kebenaran kepada cerita tersebut
3-     Ada pula yang bersikap menolak terus cerita Nabi dan kembali murtad daripada Islam.
Ini berlaku semata-mata kerana peristiwa ini sangat menongkah arus akal manusia. Inilah juga gambaran yang akan berlaku apabila umat yang keliru akan meletakkan akal sebagai sumber rujukan hidup yang mengatasi sumber al-Quran dan Sunnah.
Apakah pengajaran pertemuan Rasulullah bersama para Anbiya di langit sebelum menjadi Imam kepada semua mereka di Masjid al-Aqsa?
(Di sinilah tempat yang bersejarah apabila Rasulullah telah dipilih untuk menjadi Imam kepada semua para nabi yang terdahulu)
Perjalanan itu adalah perjalanan yang menghubungkan akidah tauhid yang besar sejak Nabi Adam, Ibrahim, Nabi Ismail, Musa, Isa dan lain-lain sehingga kepada Rasulullah saw yang merupakan penghulu dan penyempurna kepada risalah kenabian.
Dr Yusuf a-Qardawi juga telah menyatakan bahawa peristiwa ini merupakan detik pengisytiharan umum tentang perubahan kepimpinan dunia daripada para anbiya sebelumnya kepada Rasulullah saw.
Peristiwa ini telah menolak hujah sebahagian manusia yang mengatakan bahawa Isa a.s adalah pengasas agama kristian dan juga di kalangan orang Yahudi yang mendakwa bahawa Musa adalah nabi yang paling mulia.
Sebagai umat Islam kita mesti menginsafi bahawa sifat Islam adalah memimpin dan bukan sekadar berpuas-hati dengan ‘demokrasi’ dan ‘humanism barat’ serta dengan apa yang berlaku di dunia global pada ketika ini.
Kenapa mesti dibawa ke Masjid al-Aqsa, di Baitul Maqdis dahulu dan tidak terus dari Masjid al-Haram ke Sidratul Muntaha?
Perjalanan ini menunjukkan bahawa Baitul Maqdis sangat penting kedudukannya dalam agama Islam.
1-     Masjid al-Aqsa adalah merupakan kiblat pertama bagi umat Islam sebelum ianya dipindahkan ke Masjid al-Haram di Mekah.
2-     Masjid al-Aqsa adalah masjid yang ke 2 dibangunkan di mukabumi
3-     Masjid al Aqsa adalah masjid yang ke 3 suci di dalam aqidah umat Islam
4-     Al-Quran menyebut Masjid al-Aqsa dengan sifatnya yang bermaksud: “Yang Sudah Kami Berkati Sekelilingnya”  yang menggambarkan keberkatan yang mengelilingi dan melimpah ke atas masjid itu.
(Masjid Qiblatain di Madinah ialah saksi hidup terhadap pristiwa perpindahan kiblat)
Masjid al-Aqsa juga adalah tempat para anbiya dilahirkan, berdakwah dan dikuburkan sehingga Imam Syafi’e (yang dilahirkan di Gaza) pernah berkata pada suatu ketika dahulu, “Saya sangat suka beriktikaf di Masjid al-Aqsa ini lebih daripada mana-mana sekalipun.” Ketika ditanyakan alasannya, beliau menjawab, “Di sinilah tempat berkumpul dan dikuburkannya para Nabi.”
Apakah hubungan Israk Mikraj dan pembebasan Masjid al-Aqsa oleh Solahuddin al-Ayyubi?
Al-Aqsa adalah milik umat Islam secara keseluruhannya. Ianya bukan sekadar isu bangsa Palestin atau bangsa Arab semata-mata. Adalah menjadi kewajipan bagi setiap kita untuk menyumbang terhadap apa jua cara dan usaha untuk membebaskan Masjid al-Aqsa daripada terus dinodai kesuciannya oleh Yahudi dan Zionis pada ketika ini.
Solahuddin adalah bukti dan saksi bahawa isu perdana ini adalah milik dan tanggung-jawab kita bersama. Beliau telah menghabiskan keseluruhan hayatnya berkorbat dan berkeringat sehingga pembebasan al Aqsa daripada Salib menjadi kenyataan.
Mari kita lihat kembali kisah pembebasan Baitul Maqdis oleh Solahuddin al-Ayyubi ke atas tentera Salib :
Pada Jumaat, 27 Rejab 583 Hijrah yang bertepatan hari Israk dan Mikraj, Sultan Salahuddin al-Ayyubi memasuki kota Baitul Maqdis. Ibn Shaddad menulis: “Itulah kejayaan bagi segala kejayaan. Satu perhimpunan besar yang terdiri daripada para pembesar, ahli peniaga, alim ulama dan orang ramai berhimpun pada saat yang mengembirakan itu. Ramai yang mengucapkan tahniah kepada Sultan Solahuddin dan teriakan ‘Allahu Akbar’ serta kalimah ‘La Ilahaillallah’ bergema gagah di angkasa.
Setelah 90 tahun berlalu tanpa Jumaat sepanjang pemerintahan kristian Salib, sembahyang Jumaat sekali lagi didirikan di Baitul Maqdis. Salib yang berkerlipan di atas kubah Masjid al-Aqsa diruntuhkan. Sesungguhnya suasana ketika itu sukar dibayangkan, tetapi rahmat dan pertolongan Allah SWT dapat disaksikan di setiap tempat pada hari berkenaan. Mimbar istimewa yang yang dibina di bawah arahan Nuruddin al-Zanki, 20 tahun sebelum pembebasan Baitul Maqdis telah dibawa dari Halab, Syria dan didirikan di dalam Masjid al-Aqsa.”
Isra Mikraj mengajar kita untuk sama terlibat bagi membebaskan al-Aqsa, Apakah tindakal praktikal yang boleh kita buat?
Sebenarnya banyak perkara yang praktikal yang boleh kita sumbangkan bagi menyelamatkan Masjid al-Aqsa dari ancaman kemusnahan. Di antaranya ialah
1-     Bermula dengan diri kita, kenali sejarah Palestin dan kepentingan Masjid al-Aqsa dalam aqidah umat Islam.
2-     Didiklah keluarga dan masyarakat tentang keutamaan mengambil berat urusan umat Islam termasuk dengan apa yang berlaku di Palestin.
3-     Tanam dan sebarkan kesedaran tentang status sebenar Masjid al-Aqsa kepada masyarakat dengan apa jua cara.
4-     Anjurkan program yang berkaitan dengan Masjid al-Aqsa pada sambutan peristiwa Israk Mikraj ataupun pada Hari al-Aqsa seDunia pada 21hb Ogos nanti di masjid-masjid, sekolah-sekolah, kampus universiti dan di premis-premis yang lain.
5-     Memberikan sumbangan kewangan kepada badan-badan yang memperjuangkan masa depan Masjid al-Aqsa.
6-     Memahamkan isu ini kepada pelbagai lapisan masyarakat di negara kita dan mengajak mereka untuk turut serta dalam agenda memperjuangkan kesucian al-Aqsa.
7-     Menyokong seruan pemboikotan ekonomi ke atas barangan musuh (Zionis) dan juga pendokong mereka.
8-     Melibatkan golongan bukan Islam dalam isu ini di atas asas persefahaman bersama dan menyerlahkan dimensi kemanusiaan. Persefahaman ini adalah bertitik tolak daripada kefahaman yang benar, adil dan berdasarkan kemanusiaan.
9-     Melonjakkan isu ini ke persada nasional dan antarabangsa kerana perjuangan pembebasan al-Aqsa adalah isu yang menyatukan cita-cita dan hasrat umat Islam sejagat.
10- Berdoa kepada Allah swt agar Masjid al-Aqsa diselamatkan dari musuh-musuh umat Islam dan kemuliaannya sentiasa terpelihara.
Insafi pengajaran Israk Mijraj dan libatkan diri anda dalam usaha untuk membebaskan Masjid al-Aqsa dan Palestin.
Semoga al Aqsa dan Palestin terbela
Salam perjuangan
Dr Z

Tuesday, June 28, 2011

ibu bapa.

Ramai tak sedar jarang bertanya khabar kepada orang tua di kampung dikira menderhaka

RAMAI anak yang tidak mengaku apabila dituduh menderhaka kepada ibu bapa. Namun, siapa yang dapat menafikan kebenaran ayat Allah dan hadis Rasulullah SAW yang menyimpulkan bahawa termasuk dosa besar yang kedua selepas syirik ialah apabila seseorang melupakan tanggungjawab menjaga kedua orang tua.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya, apabila salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu." a33; (Surah Al-Isra' ayat 23)

Rasulullah SAW lebih jelas menegaskan mengenai dosa besar ini di dalam sabdanya yang bermaksud: Mahukah kamu aku khabarkan tentang dosa besar? Kami (sahabat menjawab: Ya, tentu wahai Rasulullah. Beliau bersabda: "Ada tiga, iaitu menyekutukan Allah, derhaka kepada kedua ibu bapa dan ucapan dusta dan kesaksian dusta, Baginda mengulanginya berkali-kali sehingga kami berkata mudah-mudahan baginda diam." a33; (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari)

Semua anak mengaku mereka sudah memenuhi hak kedua ibu bapanya walaupun hati tak merindu, jauh sekali khuatir, sedih dan pilu mengenang keuzuran kedua orang, pemegang kunci syurga mereka di akhirat nanti. Bahkan anak dunia itu seolah-olah tidak mahukan akhirat.

Lantas mereka lalai dan lupa akibat mengejar cita-cita dunia sehingga tak tersisa sedikit pun ruang untuk ayah dan ibu di dalam hati. Hati yang sentiasa sibuk, memberi kesan pada wajah mereka yang kian suram apabila berdepan dengan ayah dan ibu. Mereka lebih rela menjadi tanda-tanda dekatnya kiamat dengan berlaku derhaka daripada harus menanggung beban hidup bersama orang tua.

Pelbagai alasan dicipta untuk menghalalkan keuzuran mereka daripada menjaga ibu bapa, tetapi di sudut hati nurani anak-anak manusia siapakah kiranya yang boleh melepaskan diri daripada kenangan kasih sayang ibu bapa ketika kecilnya.

Mereka juga berselindung di sebalik amal salih yang lain, sebahagiannya ahli tahajjud, setia membaca al-Quran, ahli masjid, istiqamah mengerjakan haji dan umrah, ahli sedekah dan puasa. Tetapi, mereka membuat hati ibu bapa menangis, jiwa mereka terdera dan impian hari tua yang indah bagi mereka hancur berkecai.

Padahal keutamaan berkhidmat kepada orang tua melebihi pahala jihad fisabilillah seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah bin Mas'ud beliau berkata: "Saya bertanya kepada Nabi SAW. "Amalan apakah yang paling disukai oleh Allah SWT? Baginda bersabda: "Solat pada waktunya, saya bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berbuat baik kepada kedua orang tua. Saya bertanya: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berjihad di jalan Allah." a33; (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ironinya mereka mengejar pahala ibadat sunat tetapi yang wajib ditinggalkan. Kewajipan berkhidmat kepada ibu bapa mereka dianggap bukan ibadat melainkan hanya adat kehidupan manusia. Maka jika mereka lalai mengingati kedua-duanya, tidak ada kekesalan di dalam hati, tidak rasa berdosa dan bermaksiat kepada Allah SWT.

Sungguh penyelewengan yang tidak disedari, melainkan apabila keduanya kembali ke rahmatullah. Lalu anak-anak itu secara tabienya menjadi ibu dan bapa generasi baru. Dia merasai sakit menjaga dan mendidik anak seperti ibu bapa dulu. Akhirnya dia sedar betapa seksa diderhaka dan dibuang bagaikan al-Quran usang.

Bukan hanya ibu bapa yang terguris hati, Rasulullah SAW pun pernah menitiskan air mata mendengar pengaduan seorang lelaki tua mengenai anaknya yang menderhaka. "Wahai Rasulullah, anakku telah aku didik tetapi setelah dewasa dia menzalimiku. Lelaki itu kemudian menyatakan kesedihannya dengan untaian syair yang memilukan:

"Ketika engkau masih kecil, tangan ini yang memberimu makan.

"Engkau minum juga aku yang tuangkan. Apabila dirimu sakit, aku berjaga semalaman.

"Kerana sakitmu itu aku mengeluh kerisauan. Tetapi, di saat engkau dewasa dan mencapai tujuan.

"Kulihat pada dirimu apa yang tak ku harapkan. Kau balas aku dengan kekasaran.

"Seakan-akan nikmat dan anugerah engkau yang berikan."

Mendengar bait-bait syair lelaki tua itu, berlinanganlah air mata Rasulullah SAW seraya bersabda yang bermaksud: Kamu dan hartamu milik ayahmu." a33; (Ditakhrij oleh Ibnu Majah 2357, Imam Ahmad dalam al-Musnad 6883, Ibnu Hibban dalam sahihnya 409, 4182. Al-Baihaqi dalam al-Sunan 16054)

Pelbagai takrifan diberi ulama mengenai tanda-tanda derhaka kepada orang tua seperti memutuskan hubungan dengan tidak mahu menziarahi mereka, tidak memberi nafkah, tidak memenuhi hak-hak mereka dan tidak mentaati mereka pada hal yang bukan bermaksiat kepada Allah SWT.

Sesungguhnya kasih sayang yang paling ikhlas tanpa syarat hanyalah kasih sayang ibu bapa. Anak yang salih dituntut untuk membalas jasa mereka dengan adab dan akhlak yang baik. Kadang-kadang seulas senyuman dan kata-kata yang lembut lebih berharga daripada wang ringgit serta barangan berharga.

Namun tidak dinafi juga kepentingan hadiah sebagai pengikat jiwa. Sikap mementingkan diri sehingga membiarkan ibu bapa hidup susah di sebalik kemewahan seorang anak sememangnya menunjukkan sifat tidak mengenang budi. Jika boleh dihitung berapa juta ringgit yang mesti dibayar, sudah tentu jasa ibu bapa tak akan terbayar dengan sebarang jenis mata wang pun di dunia ini. 

Saturday, June 25, 2011

Pengguguran Janin (Abortion)

Janin di dalam rahim seseorang wanita kadang-kadang mengalami kecacatan pada anggota tubuhnya.Ini mungkin disebabkan keadaan persekitaran dan penyakit warisan berdasarkan keturunannya.
Para doktor perlu mengambil peranan yang cukup penting di dalam menghadapi situasi sebegini.Jika bayi tersebut sudah dilahirkan maka para doktor perlu bersedia untuk menjadi pemberi motivasi yang terbaik untuk memberikan penjelasan kepada keluarga terutama wanita yang melahirkan anak tersebut.Ini bagi mengelakkan tersebut menjadi rendah diri dan malu dengan anaknya sendiri.Kini,terdapat banyak saluran sokongan seperti badan-badan amal,persatuan-persatuan bagi ibu bapa yang mempunyai anak-anak berpenyakit tertentu, dan pusat-pusat kesihatan malah pakar tertentu khusus untuk anak-anak cacat.
Para ulama membahaskan adakah janin yang mempunyai kecacatan boleh digugurkan?
Pendapat para ulama dan doktor tentang janin cacat:
a)Sepakat para ulama bahawa janin cacat adalah HARAM untuk digugurkan jika ianya telah ditiupkan roh iaitu selepas berlalu 120 hari selepas disenyawakan.Maka pengguguran adalah diharamkan kecuali jika memudharatkan ibu yang mengandung dengan membiarkan janin tersebut.
b)Para ulama berbeza pendapat pula bila mana janin tersebut belum ditiupkan roh.Adakah dibenarkan oleh syarak untuk digugurkan atau tidak?Terdapat dua pendapat ulama tentang perkara ini:
i)Pendapat yang membenarkan
Antara para ulama dan doktor muslim yang membenarkan perkara ini ialah Syeikh Jadul Haq Ali Jadul Haq(Syeikhul Azhar sebelum ini),Dr Taufiq Wa’ie,Dr Muhammad b. Kahujah(Mufti Tunisa dahulu),Dr Mustafa Labanah dan Dr Muhammad Ali al-Bar.Mereka membenarkan perkara ini berdasarkan beberepa ketetapan yang tertentu.
Ketetapan yang telah diletakkan secara rasmi oleh Majlis Kesatuan Fiqh Islami pada perhimpunan kali ke-12 yang bertempat di Makkah al-Mukarramah pada hari Sabtu 15 Rejab 1410 bersamaan 10 Februari 1990 ialah:
  • Jika janin tersebut telah mencapai 120 hari tempoh di dalam rahim maka pengguguran adalah DIHARAMKAN kecuali jika mendapat kepastian daripada para doktor pakar yang mengatakan bahawa janin tersebut akan memberikan kemudharatan pada nyawa ibunya jika dibiarkan di dalam rahim tersebut.
  • Manaka jika janin tersebut belum mencapai tempoh 120 hari di dalam rahim ibu tersebut ianya dibenarkan untuk digugurkan jika mendapat kepastian secara jelas daripada para doktor pakar bahawa janin tersebut memang mempunyai kecacatan yang teruk dan jika janin tersebut dibiarkan maka ianya akan lahir dalam keadaan yang tidak baik sera memberikan kesan yang buruk kepada keluarga terbabit.
ii)Pendapat yang mengharamkan:
Antara para ulama yang mengharamkan perkara ini ialah Dr Muhammad Said Ramadhan al-Buti,Dr Abdul Fattah Mahmud Idris,Dr Misbah Mutawalli Sayyid Hammad dan Dr Muhammad Nujaimi.
SUMBER:
Kertas Kerja Seminar Perubatan Kali Ke-2 mengenai Kelahiran dan  Kematian anjuran Persatuan Pelajar-Pelajar Perubatan Malaysia-Mesir pada 11-12 Februari 2009,pembentang hasil kertas kerja di atas ialah Ustaz Nazrul bin Nasir(penuntut Fakulti Usuluddin Universiti Al-Azhar,tahun 3)

Tuesday, June 21, 2011

deactivate!

assalamualaikum. ^_^

mungkin ramai yang tidak perasan, baru-baru ini, saya telah 'deactivate' akaun formspring dan twitter saya.
semua ini dilakukan tanpa sebab.(pelik kan, atau saya sendiri belum terfikir sebabnya)

mungkin sebab exam, kepala rasa serabut. sebab itu rasa nak delete,
namun akaun fb, ym, skype saya masih lagi aktif, untuk keluarga dan sahabat terdekat. ^_^

(post macam ini, silap2 xda pun yang peduli saya activate ka deactivate, hihi..kasihannya diri)

doakan saya dan kawan2 untuk paper microbiology akan dtg 2/7. 

p/s: saya tahu gambar di bawah x berkaitan langsung dengan post, tapi saya sangat suka gambar baby ni, tergolek2, comel.. rasa nak cubit pun ada. ^_^

wassalam ^_^

Monday, June 20, 2011

kisah puding roti

Bahan-bahan ( 3-4 orang )

  • 4 keping roti, disapu mentega
  • 450ml susu segar
  • 3 biji telur
  • 25g gula
  • 1 sudu besar tepung kastard

Cara-cara

  1. Potong roti sesuka hati dan susun di dalam loyang.
  2. Panaskan susu di atas api(jangan sampai mendidih).
  3. Pukul telur dan gula sampai kembang dan masukkan susu yang telah dipanaskan.
  4. Masukkan tepung kastard dan kacau hingga sebati.
  5. Tuang campuran atas susunan roti. Biarkan selama 15min supaya roti kembang.
  6. Bakar 20-30min pada suhu 180. Kemudian sejukkan.

~ baru-baru ini, ibu buatkan adik2 puding roti, dorang bobo, adik iyam makan dengan gembira, suka betul~

ct: ibu kakak da dapat pula resepi ni, senang pula, nanti lah kakak tolong ibu buat sama2. hihi. ^_^~

miss you ibu. <3

p/s: ibu, puding roti kukus ka bakar? yg mudah jala kan ibu yg masuk microwave. hihi. >.<